Institusi pendidikan pondok sering kali dilihat sebagai jalan terakhir bagi segelintir ibu bapa untuk mempersekolahkan anak-anak. Ibu bapa seharusnya berpandangan bahawa institusi pondok adalah salah sebuah pusat pendidikan terbaik bagi anak-anak, bukan pilihan terakhir atau plan “B” untuk anak-anak mereka, malah institusi pondok perlu dilihat sebagai sebuah harapan untuk menggapai cahaya ilmu Allah dalam memahami nas al-Quran al-Karim untuk mengembangkan agama Allah SWT, di samping memastikan anak mereka sentiasa berada di landasan didikan yang betul dengan meneruskan perkara yang sama di rumah. Ada juga yang perpandangan, ‘Masuk madrasah pondok nanti nak makan apa?, Keluar madrasah pondok nanti nak jadi apa?’ dan banyak lagi persepsi negatif yang dilontarkan. Saya sebagai salah seorang anak pondok merasa bangga mengatakan “Aku Anak Pondok” kerana hasil didikan disinilah saya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti sekolah yang lain juga.

Dr Bunyamin Abdul Rahman di Jabatan Al-Quran & Al-Sunnah (Kelestarian Thurath Islami), UKM.

Ibu bapa menghantar saya di instituti pondok sebagai pusat pendidikan asas dan tidak mengizinkan untuk belajar di mana-mana institusi pendidikan lain melainkan selepas menamatkan pengajian saya di madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian (MMPSD) ini dengan mengetepikan pandangan negatif terhadap persepsi segelintir ibu bapa dan masyarakat yang mengatakan belajar di pondok tidak cerah masa depan dan tidak yakin dengan peluang pekerjaan yang ada. Hatta ayahanda saya sendiri telah terpilih untuk melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris @ Sultan Idris Training College (SITC) Tanjung Malim, Perak untuk menjadi guru pelatih, tetapi tawaran itu tidak mendapat restu daripada ayahandanya Lebai Sulaiman iaitu datuk saya kerana berhasrat untuk melihat anaknya Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman iaitu ayahanda saya mempelajari ilmu dalam bidang agama, sehingga saya dan adik-beradik menjadi penerusnya untuk belajar di institusi pondok sehingga ke peringkat aliah atas keyakinan ayah bonda saya yang berpandangan bahawa pondok pemangkin pengajian yang boleh melahirkan ilmuan yang berjaya masa depan.

Dulu, kesedaran tentang pengajian aliran pondok tidak menyeluruh. Kini, institusi pondok telah menjadi antara institusi pengajian pilihan dikalangan ibu bapa dan kecenderungan mereka menghantar anak-anak ke madrasah aliran pondok masa kini kerana mahukan yang terbaik buat anak-anak supaya anak-anak didikan pondok mempunyai jati diri, keperibadian akhlak dan adab yang terpuji dalam kehidupan berlandaskan Islam secara menyeluruh dan yakin pada diri sendiri, mengkombinasikan ilmu yang seimbang antara duniawi & ukhrawi, sememangnya rutin harian pelajar sentiasa padat dengan pengajian ilmu al-Quran, hadis dan agama menghasilkan ilmu berdasarkan sumber yang sahih iaitu al-Quran dan al-Sunnah dan pelajar lepasan aliran pondok tidak perlu bimbang dengan masa depan mereka kerana sumber rezeki merupakan ketentuan Allah dan tidak boleh mengukur nasib, hala tuju masa depan seseorang pelajar di mana-mana sahaja institusi pengajian yang diceburi sekalipun di institusi pengajian pondok, sehingga ada yang memperlekehkan pelajar pondok ketika ingin menduduki peperiksaan SPM dalam tempoh setahun untuk memahami kurikulum tingkatan 4 &.5 dalam satu masa yang agak mencabar sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat universiti awam dan swasta, namun kata-kata itu dijadikan suntikan motivasi kepada pelajar dan menyahut cabaran untuk terus berjaya sehingga ada dikalangan pelajarnya dapat melanjutkan pengajian ke IPTA/IPTS dalam dan luar negara.

Alhamdulillah, apabila digarap ramai dikalangan pelajar institusi pondok mendapat keputusan cemerlang dalam bidang pendidikan membuktikan bahawa anak pondok juga mampu melanjutkan pengajian hingga ke menara gading dan mencipta kecemerlangan dalam kehidupan masing-masing.

Setelah menamatkan pengajian di sini, ramai para pelajar telah menyambung pengajian ke timur tengah. Antaranya Jamiah Madinah, Jamiah al-Albayt, Jamiah Baghdad, Jamiah al-Azhar, Kuliah Dakwah, Abu al-Nur dan universiti tempatan seperti UIAM, UM, UKM, UPSI, UIS-KUIS, Kolej Universiti-KIAS. Ramai alumni MMPSD telah berkhidmat di sektor kerajaan dan swasta, antaranya di bawah KPM, UM, UiTM, MSU, UniKL, Kolej Vokasional, Imam di bawah Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri, Guru Takmir, Institusi Pendidikan Pondok sendiri, badan korporat dan menjadi YB DUN dan ahli parlimen, membuka syarikat perniagaan sendiri dan lainnya.

Sebelum saya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM), sering kali Bonda bertanya: “Sambung belajar nanti pulang berkhidmat di pondok lagi ke?”. Sebelum menamatkan pengajian Ph.D di UKM Bonda bertanya lagi: “Bila nak pulang untuk berkhidmat di Pondok, Bonda risau takut Bonda pergi sebelum Bun kembali ke MMPSD”, maha suci Allah, takdir Allah yang menentukan segalanya, Bonda telah pergi menemui Allah sebelum saya menamatkan pengajian. Ya Allah!, rahmatilah ayahbondaku-رحمهما الله.
“وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا”
“Katakanlah: Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya dengan memelihara dan mendidikku semasa kecil.” -al-Isra’: 24.

Kini, saya telah kembali ke MMPSD untuk menunaikan hasratnya walaupun tidak sempat pulang dan menamatkan pengajian semasa hayatnya, saya redha, mudah-mudahan amal kebajikan ini sampai kepadanya sebagai amal jariah dan penerus perjuangan ayahbonda tercinta untuk mendapat keberkatan dari Yang Maha Esa dan kedua ibu bapa. Ada yang bertanya, ambil Ph.D dan tesis ini untuk apa bila pulang ke MMPSD. Alhamdulillah, hasil kajian ini serta pengalaman kerja sambil menimba ilmu diperantauan, anataranya PTPL @ MSU, USIM dan lainnya dapatlah sedikit sebanyak untuk berbakti kepada MMPSD bersama kekanda saya YBhg Dato’ Dr.Abdul Basit bin Abdul Rahman selaku Musyrif MMPSD & Pengerusi YPSD yang banyak membimbing saya dan berganding bahu bersama asatizah serta warga MMPSD untuk meneruskan perjuangan arwah ayahbonda sebagai pengasas MMPSD ini.

Semoga dengan kejayaan graduan alumni MMPSD dapat dijadikan sebagai sumber Inspirasi dan kekuatan kepada pelajar yang ada dalam mengharungi dunia pendidikan serta mengekalkan momentum dalam menggapai impian dengan menggenggam syahadah (STU) Pondok, seterusnya ijazah Sarjana Muda, sarjana dan kedoktoran selepas tamat pengajian mereka di MMPSD serta mendapat peluang pekerjaan yang baik atas keredhaan Allah dan ibu bapa masing-masing serta memenuhi kehendak pasaran pendidikan. Insya Allah.

Dr. Bunyamin bin Abdul Rahman
Abu ‘Ayyash & Nisreen
Jumaat, 30 Disember 2022
06 Jamadil Akhir 1444H

Perlukan bantuan? Sila hubungi :