Seminar Rahsia Hafal Quran Sebulan

Satu seminar yang dianjurkan oleh pihak kerajaan negeri Kelantan bagi memperkasakan hafalan Quran bagi pelajar tahfiz khususnya. Program berlangsung satu hari sahaja bermula pukul 9.00 pagi sehinggalah waktu asar. Penceramahnya dijemput jauh dari Indonesia.

Kaedah hafalan sebulan ini dinamakan teknik KARANTINA. Secara mudahnya kaedah ini menggunakan teknik hafalan fotografi seakan-akan ada tulisan berada di depan mata. Berdasarkan perkongsian yang dibuat, penghafal perlu memiliki ciri tersebut:

1. Bacaan lancar.

2. Disiplin.

3. Bacaan betul ikut tajwid.

4. Rajin.

5. Memahami bacaan.

Bagi pemula yang baru mulakan hafalan, agak mencabar untuk memiliki ciri-ciri tersebut malah ia perlu dibentuk setiap hari sehingga terbiasa dengan hafalan Quran. Ibarat seorang pengayuh basikal terpaksa bersusah menaiki bukit, menggunakan segala tenaga untuk sampai di puncak. Apabila sudah sampai di puncak, mereka turun bukit cepat tanpa menggunakan kudrat yang banyak.

Teknik hafalan dipraktikkan seperti berikut:

1. Baca bacaan ayat sehingga betul-betul lancar dengan bacaan cepat.

2. Mulakan hafalan dengan keratan ayat yang tidak terlalu panjang atau terlalu pendek.

3. Hafalan tersebut perlu disertai dengan gambaran tulisan di dalam fikiran.

4. Setelah betul-betul ingat barulah sambung ke keratan ayat seterusnya.

5. Semasa proses menghafal, pelajar perlu cuba memahami bacaan dengan melihat kepada terjemahan.

6. Setelah habis satu ayat, boleh mulakan ayat seterusnya.

7. Setelah ingat ayat kedua, untuk meneruskan ayat selanjutnya perlu ulang semula daripada awal.

8. Begitulah seterusnya sehingga tamat hafalan satu muka surat.

Secara teori begitulah, namun secara praktikalnya bergantung kepada penghafal itu sendiri dengan melihat kemampuan diri. Kelebihan hafalan ini berbeza mengikut individu. Cepat atau lambat bukanlah satu pertandingan bahkan istiqomah dalam menghafal dan murajaah itulah yang paling utama.

Semoga Allah menjaga para huffaz dalam menjaga Kalam Allah yang mulia ini.

Wakil MMPSD ke seminar ialah Ustaz Anas Al-Madani, Ustaz Abu Sulaim dan Ustaz Abu Nuha Nuwairah.

Perlukan bantuan? Sila hubungi :