UCAPAN PADA HARI GRADUASI MMPSD JUMAAT 26 RAJAB 1444 BERSAMAAN 17 FEBRUARI 2023 BERTEMPAT DI DEWAN DATO’ DR ABU ANAS MADANI PONDOK SUNGAI DURIAN KUALA KRAI KELANTAN.
Assalamualaikum wa Rahmatullah..
Terima kasih pengacara majlis.
YBhg Dato’ Dr Abdul Basit Abdul Rahman, Musyrif MMPSD & Pengerusi YPSD.
Al-fadhil Dr Haji Bunyamin Abdul Rahman, Mudir MMPSD.
Al-fadhil Ustaz Haji Yahya Yaakub, Setiausaha MMPSD.
Para asatizah dan tenaga pengajar MMPSD.
Para ibubapa dan pelajar yang diraikan.
Seterusnya para hadirin-hadirat yang saya muliakan.
Terlebih dahulu marilah sama-sama kita rafakkan setinggi syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan izin dan inayah-Nya pada hari ini kita dapat menghadiri Majlis Graduasi seramai….Pelajar MMPSD yang diadakan di Dewan Dato’ Dr Abu Anas Madani. Walaupun nampak sederhana, namun bagi saya majlis hari ini amat bermakna buat kita.
Dato’ dan tuan-puan sekalian,
Saya mewakili semua asatizah dan tenaga pengajar MMPSD pertamanya mengalu-ngalukan dan merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian dan kesempatan tuan-puan hadir ke majlis hari ini untuk sama-sama kita merai, memberi dorongan dan semangat kepada anak-anak kita. Terima kasih juga di atas kepercayaan tuan-puan menghantar, memberi amanah dan menyerahkan tugas mendidik dan mentarbiah anak tuan-puan kepada kami di sini. Alhamdulillah kami (semua tenaga pengajar dan asatizah) telah dan insya Allah akan menjalankan tugas berat ini mengikut kadar ilmu dan kemampuan masing-masing. Dan, yang pastinya kehadiran tuan-puan hari ini sangat menggembirakan kami, malah dapat menyuntik semangat kami untuk terus meningkatkan lagi kesungguhan dan komitmen dalam usaha mendidik dan mentarbiah anak-anak tuan-puan semua. Sesungguhnya kami sangat teruja dan gembira dapat bersama anak-anak pelajar di madrasah ini yang datang dan pergi silih berganti. Dan, melalui beberapa ujian dan peperiksaan, kami dapati anak tuan-puan sebenarnya ada potensi luar biasa untuk berjaya membawa pulang segala ilmu yang diajar dan dipelajari di sini, asalkan mereka ada kesungguhan selain sokongan dan dokongan kuat daripada ibubapa sendiri.
Maka bertitik tolak dari sini, kami mengharapkan agar tuan-puan selaku ibubapa dan penjaga dapat bersabar, janganlah terlalu awal untuk mendapatkan hasil dari sebatang pokok yang baru ditanam beberapa hari. Kami tidak mahu lagi melihat fenomena mengeluarkan anak didik kami yang baru sahaja mengenal alif ba ta, mubtada khabar atau fe’el fa’il maf’ul pada hal sebelum ini mereka tidak mengenal apa pun istilah mubtada khabar atau fe’el fa il, maf ul. Saya dimaklumkan ada sebahagian kecil ibubapa yang datang ke pejabat madrasah ini mengambil atau mengeluarkan anak mereka dari sini dengan alasan untuk memindahkan anak mereka mengaji di sekolah yang berhampiran rumah dan berdekatan dengan ahli keluarga serta pelbagai alasan lain.
Sebaik-baiknya semua ibubapa hendaklah sentiasa memberi nasihat dan dorongan semangat agar anak-anak dapat menyelesai dan menamatkan pengajian mereka selama lebih kurang 4 hingga 5 tahun serta sempat bergraduasi dan membawa pulang segulung Sijil Madrasah Muhammadiah Pondok Sungai Durian (MMPSD), sehelai Sijil SMU dan SPM dan seterusnya menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Dato’ dan tuan-puan serta anak-anak pelajar yang dikasihi,
Kepada para graduan, diharapkan agar sentuhan majlis hari ini dapat membuatkan anda tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para asatizah dan barisan pendidik di sini.
Tahniah dan syabas kepada para guru dan asatizah yang saya perhati sangat berdedikasi, sanggup bertungkus lumus, mengorbankan tenaga dan fikiran dalam usaha mendidik serta memberi tunjuk ajar kepada semua pelajar di pelbagai tahap dan tingkatan. Pihak pentadbir, para guru dan barisan pendidik serta asatizah pastinya mempunyai harapan yang tinggi agar semua anak didik mereka dapat meneruskan pembelajaran dan pengajian di mana jua dan kemuncaknya mereka berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.
Dato’, tuan-puan dan anak-anak pelajar yang dikasihi,
Pada kesempatan ini, kami, guru-guru dan semua tenaga pengajar MMPSD ingin merakamkan jutaan terima kasih wa Jazakumullahu Khairan kepada pihak pentadbir madrasah yang diketuai YBhg Dato’ Dr Abu Anas, Dr Bunyamin dan lain-lain kerana kami dapati pihak pentadbir madrasah ini bukan sahaja sangat cakna, sentiasa memerhati dan mengambil berat tentang hal kehidupan dan kebajikan para pelajarnya, bahkan juga kebajikan para asatizah dan warga kerja MMPSD seluruhnya.
Kami memohon maaf sekiranya kehadiran tuan-puan hari ini tidak terlayan dengan sempurna. Ribuan kemaafan juga kami pohon sekiranya terdapat apa-apa kelemahan dan kekurangan ketika kami menerima dan menjalankan tugas dan amanah besar dan mulia ini.
Sebagai penutup, sekali lagi saya bagi pihak guru dan asatizah MMPSD Kuala Krai Kelantan merakamkan penghargaan atas kehadiran guru-guru, tuan-puan dan anak-anak graduan. Teruskan lakaran untuk sentiasa mekar memartabat dan meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan ilmu kita, kerana sebagaimana kata Sayyidina Ali Radhiallahu ‘ anhu yang bererti: “Ilmu lebih baik dari harta. Ilmu menjaga dirimu, sedangkan kamu menjaga harta. Ilmu bertambah jika disebarkan (diajarkan), sedangkan harta berkurangan jika dibelanjakan. Dan, para ulama’ akan tetap hidup selamanya, meskipun jasadnya tiada. Ajaran mereka sentiasa diingati di dalam setiap hati”.
Dato’ dan tuan-puan yang dikasihi sekelian,
“Bunga seroja di atas para, jatuh ditimpa buah berangan. Andai kata tersasul bicara, kemaafan jua saya pohonkan”.
Sekian…Wa Billahit Taufiq wal Hadayah Wassalamu ‘Alaikum wa Rahmatullahi wa Barakaatuh.
Disampaikan oleh : Alfadhil Ustaz Abdul Kadir.