Pengenalan Pondok Sungai Durian

ASAL-USUL

Pondok Sungai Durian atau nama lengkapnya Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian juga dikenali dengan Pondok Haji Abdul Rahman oleh penduduk setempat. Ia diasaskan oleh Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Sulaiman (1923M-1988M) secara rasminya pada 4 Jun 1958 di Kg. Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan. 

Pada asalnya pondok ini mula beroperasi di Bukit Enggong, Guchil, Kuala Krai, pada tahun 1957. Tetapi pada 1958 ianya terpaksa dipindahkan kerana lokasi tersebut tidak sesuai, lebih-lebih lagi dengan bertambahnya bilangan pelajar. Ianya dibina di atas sebidang tanah seluas 4 ekar kepunyaan Tuan Guru Haji Abdul Rahman di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai dengan jarak kira-kira 3 kilometer dari bandar Kuala Krai dan 66 kilometer dari bandar Kota Bharu. 

Kawasan yang dahulunya hanya 4 ekar, kini telah bertambah kepada 12 ekar hasil pembelian dari jiran-jiran sekitar pondok. 

Sekembalinya Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman ke Rahmatullah, pentadbiran dan pengurusan pondok diteruskan oleh adiknya Haji Ismail dan isteri Almarhum, Ustazah Hajjah Fatimah binti Sheikh Daud bersama anak-anak Almarhum. Sehingga sekarang terdapat lebih kurang 250 orang pelajar lelaki dan perempuan serta 350 orang dewasa dan warga emas. 

SISTEM PENGAJIAN

Pondok Sungai Durian merupakan salah satu pusat pengajian pondok yang menggabungkan di antara dua aliran iaitu secara tradisional dan moden. Kedua-dua aliran ini adalah cetusan pemikiran Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman sendiri, walaupun cara ini berbeza dari sistem pondok yang sedia ada. Tujuan Beliau ialah untuk mengatasi masalah pelajar disamping memaju dan memperbaharui pusat pengajian pondok. Sistem pondok trandisional merupakan sistem pengajian kitab-kitab silam oleh para ulama’ terkemuka sama ada dalam bahasa jawi dan arab manakala sistem sekolah (moden) pula menggabungkan sukatan Pondok Sungai Durian sendiri dengan sukatan Yayasan Islam Kelantan. 

Secara umumnya, sistem pengajian di Pondok Sungai Durian terbahagi kepada 4 tahap mengikut tahap kemampuan pelajar iaitu:

  1. Kelas Rendah
  2. Kelas Peralihan
  3. Kelas Menengah
  4. Kelas Umum